My Add

Tuesday, 16 October 2012

Hanya kerja keras dapat jayakan hasrat negara: Najib

PUTRAJAYA, SELASA, 16 Oktober, 2012: Sebaik tiba di tanah air dari Manila, Datuk Seri Najib Razak bergegas ke Seri Perdana untuk menerima kunjungan kumpulan penjaja dari kawasan Kuching Selatan, Sarawak.

Perdana Menteri meluangkan masa menghadiri dan berucap pada majlis jamuan tengah hari dengan 260 anggota komuniti penjaja itu sebelum ke ibu negara pula untuk pelancaran inisiatif Peluang Perniagaan Inovasi oleh Agensi Inovasi Malaysia di bangunan Parlimen.

"Saya yakin bagi kalangan penjaja, kalangan peniaga seperti anda, tiada perkara lain selain kerja keras. Jika kita bersedia untuk bekerja keras, peluang untuk berjaya lebih tinggi. Saya amat percaya sebagai rakyat Malaysia, jika kita mahu mencapai wawasan menjadikan Malaysia sebuah negara maju, maka kita semua mesti bekerja keras," katanya ketika berucap di Seri Perdana.

Beliau berkata, ketika di Filipina, beliau menerima layanan cukup istimewa oleh kerajaan negara itu kerana Malaysia dilihat berjaya menjalankan peranan yang besar lagi penting, untuk mendamaikan kawasan di selatan Filipina.

Ketika ini, katanya, imej Malaysia amat baik di Filipina, yang menunjukkan bahawa kerajaan sedang bekerja keras bagi meningkatkan lagi imej negara di peringkat antarabangsa, mahupun serantau. - BH

No comments:

Post a Comment