Saturday, 2 March 2013

Pembangkang hilang punca kritik program bantu rakyat

 *SHAFIE Apdal diiringi oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) ketika melawat pameran Sambutan Hari Mara ke-47 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan, semalam.

PEKAN, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Tindakan aktivis Pas, Bob Lokman menyamakan program Jelajah Janji Ditepati (JJD) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai jahat seperti iblis tidak sepatutnya berlaku jika pihak berkenaan memahami tujuan program itu diadakan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tuduhan yang dilemparkan itu menunjukkan pembangkang sudah kehilangan punca dan cuba mencetus isu yang tidak berasas.

"Kenapa mereka tidak faham tujuan asal program ini diadakan. Ini niat baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk dijadikan platform kepada rakyat menambahkan pendapatan.

"Setiap kali program diadakan, kira-kira 200 peniaga memperoleh keuntungan dengan memasarkan hasil mereka. Sepatutnya program seperti ini dipuji, bukan disamakan dengan perhimpunan iblis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar dan portal berita mengenai kenyataan Bob Lokman di Perak kelmarin yang mendakwa program JJD menyerupai kisah dongeng orang Arab untuk menyesatkan umat Nabi Adam ketika iblis dihalau keluar dari syurga.

Terdahulu, Mohd. Shafie hadir merasmikan Majlis Sambutan Hari Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke-47, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, sebagai umat Islam dan parti yang kononnya memperjuangkan Islam, tidak sepatutnya kenyataan sedemikian dilemparkan terhadap inisiatif kerajaan dalam usaha memberi pelbagai manfaat kepada rakyat.

"Pembangkang boleh meletakkan apa sahaja hukum mengikut selera mereka tetapi saya harap masyarakat dapat menilai kebaikan dilakukan kerajaan dalam membela nasib rakyat.

"Program ini bukan sekadar pertemuan seperti puak-puak Pas yang mengadakan ceramah dengan melemparkan fitnah kepada kerajaan dan mengatakan orang dengan gelaran itu dan ini. Kita bukan mengata orang, kita membantu rakyat dan membangunkan negara," ujarnya.

Beliau berharap, kenyataan negatif yang dilemparkan pembangkang dalam usaha kerajaan membantu rakyat dapat membuka mata dan minda masyarakat mengenai sikap sebenar mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment