My Add

Thursday, 30 May 2013

Adaptasi modul sekolah swasta ke sekolah kerajaan


 *MARY Yap Kain Ching (dua dari kiri) beramah mesra bersama sebahagain graduan pada Majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Perguruan Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia kali Ke-3 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, RABU, 29 Mei, 2013: Kementerian Pendidikan sedia mengkaji modul yang diperkenalkan di sekolah swasta sehingga berjaya mewujudkan program berkelas dunia untuk diadaptasikan dan dijadikan panduan di sekolah harian seliaan kerajaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, perkara itu diyakini dapat memperkasakan lagi setiap modul yang dijalankan di sekolah-sekolah harian bagi memastikan pelajar lebih berdaya saing.

Beliau berkata, tidak salah sekiranya kementerian menjalankan satu kajian mengenai kejayaan yang dicipta oleh mana-mana sekolah swasta dan pihak sekolah juga boleh menjemput pengasas sekolah swasta untuk berkongsi pengalaman dalam menjalankan sesuatu program.

"Sebagai contoh kejayaan Sekolah Cempaka Malaysia (CSM), yang muncul sebagai johan keseluruhan lima tahun berturut-turut dalam pertandingan Sukan Pendidikan Dunia (WEG), kejayaan ini perlu diteladani.

"Saya telah berbincang dengan Pengasas CSM, Datuk Freida Mohd. Pilus untuk berkongsikan pengalaman kejayaan ini ke sekolah-sekolah milik kerajaan dan beliau juga memberi maklum balas yang positif," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kejayaan CSM dalam WEG yang melibatkan penyertaan 5.1 juta pelajar dari 30,000 buah sekolah di seluruh dunia.

Terdahulu, Mary Yap menghadiri Majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Perguruan Kali Ke-3 Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Menurut Mary Yap, kajian yang bakal dilakukan adalah satu langkah yang baik kerana dapat membantu kementerian membuat perancangan dan strategi selain dapat melahirkan pelajar yang lebih efisien dan berdaya saing.

"Jika kajian ini dijalankan dengan berkesan ia bakal memberi kelebihan kepada kedua-dua belah pihak, kerana pada masa sama sekolah swasta boleh mengambil inisiatif melalui modul yang diperkenalkan oleh sekolah kerajaan kerana kita juga telah banyak memperoleh kejayaan di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Mary Yap memberitahu, kementerian telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) untuk memperkenalkan program i-THINK di peringkat sekolah bagi melahirkan modal insan pada masa hadapan yang berfikiran kreatif.

"Pelaksanaan program ini dengan berkesan mampu meningkatkan prestasi kerana membolehkan pelajar lebih fokus, berkeyakinan dan aktif selain dapat merapatkan hubungan guru dengan pelajar itu sendiri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment