Thursday, 30 May 2013

Arus deras, masalah logistik sukarkan operasi

 *SEBAHAGIAN daripada ahli keluarga dan juga rakan-rakan mangsa yang masih hilang menunggu di tempat kejadian bot karam di Sungai Rajang, semalam.
BELAGA, RABU, 29 Mei, 2013: Arus Sungai Rajang yang deras menjadi antara punca operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa tragedi bot karam berhampiran Jeram Tukok/Jeram Bungan dekat sini pagi semalam sukar dilakukan.

Selain itu, pasukan penyelamat berdepan masalah logistik kerana nahas tersebut berlaku di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi.

Malah difahamkan, pasukan penyelam sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Miri dan Bintulu hanya tiba di lokasi nahas kira-kira pukul 2.30 petang ini kerana terpaksa melalui jalan balak yang tidak berturap.

Seorang pegawai bomba dan penyelamat zon Sibu, Chong Bui Chyan berkata, pasukannya yang terdiri daripada tujuh penyelam terkandas kira-kira sejam di Jeti Belaga kerana terpaksa menunggu bot untuk membawa mereka ke lokasi nahas.

“Kami tidak mempunyai pilihan selain menunggu kerana lokasi tragedi berlaku kira-kira sejam perjalanan dengan menaiki bot," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya cuba menarik keluar bot ekspres tersebut, ‘Kawan Mas’ yang karam betul-betul di tengah sungai menggunakan tongkang besar kira-kira pukul 1 petang ini namun gagal.

“Kabel yang digunakan untuk menarik bot terputus dan kami terpaksa mencari jentera yang lebih besar untuk meneruskan usaha ini.

“Operasi dihentikan pada pukul 5.15 petang dan akan disambung semula pada 7 pagi esok," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di dua rumah panjang yang menjadi tempat penginapan sementara mangsa terselamat, iaitu Uma Tevok dan Uma Tanjong lengang kerana mereka telah dibawa menaiki sebuah tongkang ke Kapit kira-kira pukul 2 petang ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment