BUTTERWORTH, RABU, 29 Mei, 2013: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 40 warga asing termasuk 14 wanita dalam dua serbuan di sekitar George Town, dekat sini malam tadi dan awal hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen negeri, Basri Othman berkata, serbuan dilakukan pada jam 10 malam dan 6.30 pagi selepas mendapat maklumat awam mengenai kehadiran warga asing yang dipercayai tanpa dokumen sah.
"Dalam serbuan pertama di sebuah pusat hiburan di George Town, kita berjaya menahan 13 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan sedang leka melayan pelanggan.
"Mereka cuba melarikan diri bagaimanapun tindakan pantas anggota imigresen mengepung pusat hiburan yang dikenali sebagai 'bar korek' itu berjaya menahan enam warga China dan tujuh Vietnam berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya semua GRO yang ditahan itu berusia 20 hingga 30 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan diri, manakala premis berkenaan pula pernah diserbu pihak berkuasa beberapa kali sebelum ini.
Menurut Basri, dalam serbuan awal pagi ini pula pihaknya menahan 27 pengawal keselamatan warga asing termasuk seorang wanita.
"Mereka ditahan di sekitar bandar George Town dan bekerja sebagai pengawal keselamatan secara haram oleh beberapa syarikat yang menyediakan perkhidmatan 'jaga' di pangsapuri serta kondo mewah," katanya.
Katanya, kebanyakan pengawal keselamatan itu beruniform serta dibekalkan 'walkie talkie' untuk memudahkan mereka bekerja selain mengaburi mata pihak berkuasa.
"Mereka yang ditahan ialah 17 lelaki warga Nepal, lima lelaki warga Pakistan, seorang India dan empat orang termasuk seorang wanita Indonesia. Semua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan diri dan pasport yang sah," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment