Kekejaman di Syria: Kerajaan didesak adakan sidang khas Parlimen
KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mei, 2013: Gabungan Selamatkan Syria (GSS) yang dianggotai 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen bagi mengutuk dan menyatakan pendirian keras terhadap kekejaman di Syria.
Pengerusinya, Naim Jusry berkata, kekejaman di Syria yang bermula sejak Mac 2011 memasuki episod baru apabila pertubuhan Hezbollah yang berpangkalan di Lebanon mengisytiharkan untuk terlibat secara langsung dalam peperangan di Syria.
"GSS mengutuk perisytiharan Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrullah pada 25 Mei lalu. Penglibatan ini akan menjadikan krisis di Syria lebih buruk dan meruncing," katanya dalam sidang akhbar GSS di sini hari ini.
Pertempuran antara tentera kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad dengan Tentera Pembebasan Syria (FSA) sejak 26 bulan lalu telah mengakibatkan 90,000 rakyat Syria terkorban dan lebih sejuta negara itu menjadi pelarian.
"Dunia termasuk Malaysia tidak seharusnya membiarkan rakyat Syria terus ditindas dan dizalimi. Semua pihak tanpa mengira kaum dan agama harus bangkit menyatakan pendirian dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Syria," tegas Naim.
GSS yang turut dianggotai Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Aqsa Syarif juga akan mengadakan Himpunan Solidariti Syria di Kedutaan Iran di Jalan U-Thant pada Jumaat ini pada pukul 1.45 petang.
Sebuah memorandum juga akan dihantar kepada kedutaan Iran sebagai membantah penglibatan Hezbollah yang juga sekutu Iran dalam krisis di Syria.
Sementara itu, Naim juga berkata, Ikram juga telah menghantar empat misi kemanusiaan di Syria sejak September tahun lalu.
Utusan Online akan memuat naik laporan dan visual eksklusif misi kemanusiaan Ikram di Syria di www.utusan.com.my. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment