Thursday, 30 May 2013

MARA sasar 500 usahawan bumiputera bergelar jutawan menjelang 2015


 Mohd. Rosdi 
KLANG 29 Mei - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasar melahirkan sebanyak 500 usahawan bumiputera bergelar jutawan pada 2015.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Mohd. Rosdi Ismail berkata, sasaran itu berdasarkan kejayaan agensi berkenaan melahirkan sebanyak 100 usahawan bumiputera bergelar jutawan setiap tahun sejak 2011.

Menurut beliau, sehingga akhir Disember tahun lalu, Mara mengenal pasti sebanyak 196 usahawan di bawah bimbingan agensi itu yang berjaya bergelar jutawan antaranya Datuk Siti Nurhaliza Taruddin melalui produk SimplySiti.

"Dengan kejayaan itu, kita berharap sasaran melahirkan sebanyak 500 jutawan dalam kalangan usahawan bumiputera di bawah bimbingan Mara akan tercapai pada 2015. Kalau lebih ramai, lagi baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Intrust Biz Showcase di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden Persatuan Seniman, Rozaidi Jamil yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

Intrust Biz Showcase yang diadakan di ruang legar AEON Bukit Raja di sini, berlangsung sejak 28 Mei lalu sehingga 2 Jun ini.

Program itu bagi memberi peluang kepada para usahawan bumiputera memperkenal produk mereka kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Mohd. Rosdi turut mengumumkan kerjasama strategik Mara dengan Persatuan Seniman dalam usaha membantu ahli bumiputera persatuan tersebut menjadi usahawan berjaya.

Malah, kata beliau, sasaran sebanyak 500 jutawan dalam kalangan usahawan bumiputera tidak mustahil dikuasai oleh artis sekiranya golongan itu mempunyai minat serta bersungguh-sungguh dalam bidang perniagaan.

"Mara tidak mempunyai halangan membantu sesiapa sahaja termasuk golongan artis menjadi usahawan selagi mereka bersedia mengikut syarat yang ditetapkan berlandaskan syariat Islam," katanya.

Sementara itu, Zed Zaidi berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama pertama kali dengan Mara tersebut dan menyifatkannya peluang keemasan yang perlu direbut kira-kira 5,000 ahli persatuan berkenaan yang majoritinya bumiputera.

Malah, kata beliau, bidang perniagaan juga dilihat boleh dijadikan karier nombor dua artis dalam menjamin masa depan mereka yang lebih baik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment