Thursday, 30 May 2013

MIC perlu dahulukan rakyat

Oleh ROZIANAH RISMAN

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mei, 2013: Pemimpin MIC diingatkan supaya menumpukan perhatian terhadap usaha menangani masalah berkaitan masyarakat India terlebih dahulu sebelum sibuk memikirkan soal pemilihan parti itu.

Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan berkata, buat masa ini, pelbagai isu yang timbul seperti ekonomi, kemiskinan, ekuiti, meritokrasi dan kewarganegaraan masyarakat India dilihat lebih penting untuk diberikan keutamaan.

Tegasnya, sekarang adalah masa untuk menabur bakti dan menunaikan segala janji kepada rakyat.

"Setiap pemimpin MIC perlu menyedari masyarakat India meletakkan harapan sangat tinggi terhadap mereka. Sebab itu rakyat pilih mereka.

"Kita baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum Ke-13, namun sudah mula kedengaran berlaku perebutan jawatan dalam pemilihan parti walaupun tarikh proses itu masih jauh (dijangka pada 2014)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin MIC yang sudah mula menyatakan hasrat untuk bertanding atau mencabar jawatan tertentu sekali gus menyaksikan bakal berlaku perebutan dalam pemilihan parti akan datang.

Semalam Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dilaporkan mungkin menandingi jawatan tertinggi parti berusia 67 tahun itu.

Sebelum itu, sebuah portal berita turut melaporkan MIC Selangor akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk meluluskan satu resolusi bagi melarang perebutan jawatan tertinggi parti pada pemilihan kali ini.

Menurut Ramanan, perebutan itu hanya akan menggugat semangat penyatuan ahli-ahli MIC dan mewujudkan perpecahan dalam parti.

"Kita perlu duduk semeja dan membincangkan bagaimana untuk menangani segala masalah berkaitan kaum India. Kukuhkan kedudukan parti dan fokus terhadap rakyat dahulu.

"Jangan sampai apa yang berlaku kepada MCA (tsunami pengundi Cina) menimpa MIC pada pilihan raya akan datang ekoran sikap pemimpin yang obsesi terhadap pemilihan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment