My Add

Wednesday, 29 May 2013

Mubarak yakin ADUN BN tetap setia

Oleh ROKIAH ABDULLAH
 
 Saharuddin Abdul
IPOH, SELASA, 28 Mei, 2013; Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perak menyifatkan dakwaan kononnya terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan melompat parti bagi membolehkan pembangkang berkuasa di negeri ini sebagai tidak masuk akal.

Yang Dipertuanya, Datuk Saharuddin Abdul Jabar berkata, pihaknya yakin tahap kesetiaan ADUN BN sangat tinggi, lebih-lebih lagi parti tersebut bukan sahaja membentuk kerajaan di negeri ini, malah berkuasa di peringkat Pusat.

Sebaliknya, Saharuddin mendakwa, khabar angin itu sengaja dicetuskan pembangkang semata-mata mahu memberikan harapan baharu kepada penyokong mereka yang kini masih kecewa setelah gagal merampas Putrajaya.

"Sebenarnya, khabar angin itu hanya untuk menyeronokkan penyokong mereka (pembangkang) yang kecewa sekarang sebab sebelum ini mereka diyakinkan akan menang, tetapi yang berlaku sebaliknya.

"Jadi, mereka sogokkan penyokong dengan pelbagai harapan baharu termasuklah kata nak buat petisyen dan beritahu ada ADUN BN nak lompat parti. Ini bukan sebab apa, hanya untuk terus meyakinkan penyokong bahawa harapan masih ada," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cakap-cakap kononnya sekurang-kurangnya dua wakil rakyat BN Perak akan melompat parti sekali gus membolehkan pembangkang membentuk kerajaan.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang dengan majoriti mudah di Perak apabila memperoleh sebanyak 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambah Saharuddin, meskipun wakil rakyat BN tidak terikat dengan perjanjian seperti DAP mensyaratkan wakil rakyatnya membayar RM5 juta dan Pas yang menggunakan sumpah bai'ah jatuh talak ke atas isteri dalam peraturan keluar parti, namun beliau yakin kesetiaan ADUN BN ketika ini berada pada tahap tertinggi.

"Saya percaya pada saat dan ketika ini semua ADUN kita tidak akan mudah dipengaruhi meskipun ditawarkan dengan pelbagai jawatan atau ganjaran wang untuk menyokong pembangkang.

"Pada situasi sekarang, bukan wakil rakyat BN yang mahu keluar, sebaliknya mereka (pembangkang) takut sebab mungkin ada kalangan mereka yang mahu berbuat demikian. Mereka takut dengan bayang-bayang sendiri, jadi mereka cetuskan provokasi sedemikian untuk menutup cerita-cerita itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment