My Add

Thursday, 30 May 2013

Penggondolan hutan di Hulu Kelantan isu biasa - Mohd. Amar

KOTA BHARU, RABU, 29 Mei, 2013: Walaupun sebahagian besar hutan di kawasan hulu negeri ini sudah gondol namun Kerajaan Pas Kelantan terus menganggap isu itu sebagai perkara biasa.

Dalam masa sama, Kerajaan Pas Kelantan turut mengakui bertanggungjawab menggondolkan kawasan-kawasan hutan berkenaan kononnya bagi tujuan membangunkan ladang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, isu penggondolan hutan itu tidak hanya berlaku di Kelantan malah di negeri-negeri lain.

Menurutnya, situasi di Kelantan juga tidak serius namun disensasikan media kerana tekanan politik sekali gus menonjolkan seolah-olah masalah itu hanya berlaku di Kelantan.

"Memang kita tebang hutan itu, tetapi untuk membangunkan ladang. Kita tidak boleh buat ladang kalau ada hutan, jadi kena tebang dulu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Februari lalu, hasil tinjauan udara di kawasan-kawasan hutan di Hulu Kelantan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) mendedahkan beberapa kawasan hutan berkenaan sudah digondolkan.

Kegiatan membersihkan hutan di beberapa kawasan itu juga didapati lebih teruk dari kawasan tanah tinggi Lojing yang sebelum ini menjadi perhatian media kerana kerosakan alam yang serius.

Tinjauan itu turut mendapati aktiviti penerokaan tanah dilakukan secara keterlaluan selepas puluhan bukit yang kaya dengan flora dan fauna berubah menjadi kawasan tandus malah ada yang kelihatan seperti pergunungan padang pasir.

Antara kawasan yang dikenal pasti menjadi mangsa kerakusan itu adalah Temangan di Machang, Kampung Mambong (Kuala Krai), Bertam dan Kuala Betis (Gua Musang) selain Sungai Perolak di Lojing dan Sungai Berok di sempadan Pahang.

Sementara itu, dalam kenyataan mempertahan tindakan kerajaan negeri, Mohd. Amar memberitahu, kawasan hutan Hulu Kelantan tersebut bukan ditebang untuk mendapatkan balak sebaliknya hanya 'ditereskan'.

"Kalau tengok kawasan Felda dulu, semua hutan ditebang kemudiannya baru naik kelapa sawit, kalau tidak tebang bagaimana hendak menanam kelapa sawit," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment