Tuesday, 28 May 2013

Suu Kyi, pemimpin Islam tentang dasar had dua anak keluarga Rohingya

Aung San Suu Kyi
Suu Kyi

YANGON, SELASA, 28 Mei, 2013: Pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi dan pemimpin Islam hari ini menyatakan tentangan mereka terhadap dasar pihak berkuasa di barat Myanmar yang mahu mengehadkan hanya dua anak bagi keluarga Islam Rohingya.

Dasar itu bagaimanapun tidak dilaksanakan untuk keluarga Buddha dan ia didakwa satu lagi bentuk pembersihan etnik.

Beberapa penganut Buddha menyambut baik dasar berkenaan kerana ia mengurangkan kebimbangan mereka terhadap peningkatan jumlah populasi penganut Islam di negara itu.

Pihak berkuasa di negeri Rakhine berkata, mereka kini sedang merangka dasar yang pernah digunakan ketika zaman pemerintahan tentera iaitu mengharamkan keluar Islam Rohigya mempunyai anak melebihi dua orang.

Kandungan dasar dan bagaimana ia akan dilaksanakan belum lagi diumumkan dan beberapa pihak menyifatkannya sebagai satu lagi dasar diskriminasi kaum dan mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak mengenainya.

“Jika ia benar, ia menyalahi undang-undang," kata Suu Kyi, ketua pembangkang yang juga pemenang Augerah Nobel.

Suu Kyi kini berdepan kritikan kerana dilihat gagal mempertahankan isu Rohingya berikutan beberapa kejadian keganasan menimpa etnik berkenaan sejak tahun lalu.

Beliau memberitahu pemberita semalam bahawa setakat ini beliau belum mengetahui secara terperinci mengenai dasar berkenaan namun jika ia wujud ia satu lagi dasar diskriminasi dan melanggar hak asasi manusia.

Dasar berkenaan dilaksanakan di dua bandar Rakhine yang bersempadan dengan Bangladesh dan mempunyai penduduk Islam paling ramai di negeri itu.

Bandar Buthidaung dan Maungdaw mempunyai kira-kira 95 peratus penduduk Muslim. Namun penduduk Islam di Myanmar hanya meliputi 4 peratus daripada keseluruhan 60 juta penduduknya. - AP /BH

No comments:

Post a Comment