Thursday, 30 May 2013

Vaksin HPV, MR bakal diperkenal

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mei, 2013: Dua vaksin yang boleh menghalang penyakit barah pangkal rahim, Rubela dan demam campak iaitu Human Papiloma Virus (HPV) dan Measles-Rubella (MR) akan diperkenalkan secara meluas di negara-negara sedang membangun bagi meningkatkan tahap kesihatan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Ketua Pegawai Eksekutif GAVI Alliance, Dr. Seth Berkley berkata, sasaran utama pertubuhan berkenaan adalah untuk memastikan wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia mempunyai akses dalam memperolehi vaksin itu.

“Dengan inisiatif ini, kira-kira 30 juta kanak-kanak perempuan di lebih 40 negara akan dilindungi dengan suntikan vaksin imunisasi HPV menjelang 2020 sekali gus dapat mencegah hampir setengah juta kematian," katanya dalam sidang akhbar sempena Persidangan Global Women Deliver 2013, di sini hari ini.

Persidangan berlangsung tiga hari sejak semalam itu memberi penekanan terhadap kesihatan dan kesejahteraan gadis serta wanita.

Jelas Berkley, vaksin MR yang merupakan kombinasi terbaharu antara suntikan pelalian cegah campak dan vaksin Rubela pula akan diperkenalkan di 49 negara bagi mengelak risiko keguguran dan kelahiran cacat.

“Vaksin tersebut bakal memanfaatkan lebih 700 juta remaja dan kanak-kanak perempuan di bawah usia 15 tahun," katanya.

Dalam pada itu, Berkley memberitahu, akses kepada pendedahan mengenai ujian saringan dan rawatan barah di negara-negara sedang membangun masih di tahap rendah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment