Thursday, 30 May 2013

Wanita keldai dadah ditahan

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
 
 *HAMZAH Sundang (dua dari kanan) menunjukkan gambar beg pakaian diguna untuk menyeludup dadah jenis syabu yang berjaya dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, semalam. - Utusan/Azrul Edham Mohd. Aminuddin
KOTA KINABALU, RABU, 29 Mei, 2013: Taktik seorang wanita keldai dadah cuba menyeludup masuk 2.25 kilogram syabu bernilai RM500,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini kelmarin gagal apabila dia ditahan kastam.

Suspek yang merupakan wanita tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan pada pukul 11.15 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai Kastam di lapangan terbang itu selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Pengarah Kastam Sabah, Hamzah Sundang berkata, suspek yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur bersuamikan seorang rakyat Afrika ditahan setelah pihaknya menemukan dadah syabu itu dalam beg pakaiannya yang diubah suai.

"Suspek membawa beg itu dari India untuk ke Kuala Lumpur melalui penerbangan ke Changi, Singapura dan singgah transit di lapangan terbang ini. Dia sepatutnya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur pada sebelah malam.

"Hasil soal siasat wanita itu mengaku sengaja tidak menaiki penerbangan terus dari India ke Kuala Lumpur kerana menyedari pemeriksaan ketat yang bakal dihadapinya sebaik sahaja tiba di sana (Kuala Lumpur)," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Hamzah, pihaknya menemukan dadah dalam beg suspek disorok pada satu ruang yang ditambah pada bahagian dinding.

Beliau percaya dadah tersebut untuk pasaran negara ini dan didalangi oleh sindiket dadah antarabangsa.

"Suspek ditahan reman sehingga Isnin depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment