My Add

Thursday, 30 May 2013

Zaleha Ismail tokoh Ibu Harmoni

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA

 *NOORAINEE Abdul Rahman (kiri) meneliti isi kandungan majalah keluaran Utusan Karya, Ibu & Anak sambil diperhatikan Zaleha Ismail dalam majlis minum petang Ibu Ratu Hatiku di Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Wahidin Salim
KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mei, 2013: Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail menerima anugerah Tokoh Ibu Harmoni sempena sambutan Hari Ibu anjuran majalah Harmoni dengan kerjasama Jamu Mak Dara.

Pengiktirafan itu berdasarkan sumbangan, semangat dan kegigihan Zaleha sebagai wanita yang berjaya dalam sudut kepemimpinan, ekonomi dan sosial selain turut bergelar sebagai seorang ibu.

Berkongsi rahsia kejayaan itu, Zaleha yang merupakan ibu kepada tiga anak berkata, pengurusan masa yang rapi dan baik bagi wanita berkeluarga dan berkerjaya merupakan aspek paling utama yang perlu diberi perhatian.

"Kerana itu saya sejak dahulu bijak membahagikan waktu untuk setiap perkara dalam kehidupan.

"Meskipun sibuk dengan tuntutan tugasan harian tetapi anak-anak amat rapat dengan saya kerana saya akan memastikan masa di rumah adalah untuk mereka dan keluarga sahaja," katanya ketika ditemui selepas majlis minum petang Ibu Ratu Hatiku di sini hari ini.

Zaleha menerima anugerah itu yang disampaikan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Zaleha yang pernah memegang jawatan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat berkata, aspek tidak mensia-siakan ruang dan peluang dalam kehidupan juga adalah asas penting untuk seseorang individu mencapai kejayaan.

Katanya, sebagai pemimpin kepada golongan wanita, beliau sentiasa berazam mengangkat martabat golongan itu menerusi segala ruang yang ada dalam dasar-dasar negara.

"Saya sentiasa menerokai peluang yang ada untuk golongan wanita terus berjaya sama ada dalam bidang keusahawanan, aktiviti sosial atau akademik.

"Saya hanya akan berpuas hati selepas melihat hasilnya dan hari ini saya lihat wanita semakin mendapat tempat dalam negara," katanya.

Beliau yang menghargai pengiktirafan itu memberitahu, kejayaannya hari ini bukan sepenuhnya atas usaha sendiri sebaliknya beliau terhutang budi dengan arwah suami yang tidak pernah terlepas memberi sokongan penuh dalam setiap perkara yang dilakukan.

"Arwah suami saya banyak membantu kejayaan saya, malah beliau amat memahami saya selain merupakan pendengar yang setia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment