Thursday, 27 June 2013

500 rumah kos rendah dibina

KOTA TINGGI, RABU, 26 Jun, 2013: Sebanyak 500 unit rumah murah kos rendah akan dibangunkan di tanah seluas 4.86 hektar di Taman Daiman Jaya di sini, bagi menampung permintaan tinggi daripada kumpulan berpendapatan sederhana.

Pada harga permulaan RM42,000 bagi unit tengah, projek yang dijangka dimulakan sebelum akhir tahun ini menawarkan jenis rumah teres dua tingkat yang mempunyai tiga bilik dengan keluasan binaan 219.46 meter persegi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi berkata, kerajaan negeri berbincang dengan pihak pemaju bagi merangka semula pelan kelulusan untuk dibawa dalam mesyuarat Exco untuk tujuan itu.

Beliau berkata, sebaik mendapat taklimat pihak pemaju dan mesyuarat dijalankan, kerajaan memutuskan kepada pihak pemaju berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri untuk membina rumah murah perlu dilaksanakan segera.

"Justeru, hasil lawatan dan perjumpaan hari ini (semalam), pihak pemaju bersetuju memberi komitmen dan mengubah pelan perancangan asal pembinaan rumah murah tersebut dari empat tingkat kepada dua tingkat.

"Jadi, pada masa akan datang, ia akan memudah dan menghindar masalah dari sudut penyelenggaraan, pasaran dan kawalan ke atas pemilik," katanya selepas membuat lawatan kerja ke tapak perumahan Daiman Jaya, Pasar Awam dan Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi, di sini semalam.

Abd. Latif berkata, permintaan bagi rumah mampu milik di Kota Tinggi agak tinggi dan dengan terbinanya 500 unit rumah murah itu nanti, sekurang-kurangnya keperluan untuk golongan berpendapatan sederhana di bandar ini dapat diselesaikan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan supaya dapat memikirkan kaedah terbaik bagi mengatasi masalah peniaga di terminal bas dan teksi serta pasar awam di situ. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment