Thursday, 27 June 2013

70 peratus kontraktor tidak aktif

Oleh YATIMIN ABDULLAH
 
 * MOHD. Rosdi Ab. Aziz (berdiri) beramah mesra dengan ahli-ahli PKMMNK selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Negeri Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.
KOTA BHARU, RABU, 26 Jun, 2013: Hampir 70 peratus daripada lebih 2,700 kontraktor bumiputera di negeri ini tidak aktif akibat menghadapi kekangan kerja atau tidak ada projek sejak sekian lama untuk dilaksanakan.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan (PKMMNK), Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, situasi tersebut menyebabkan bilangan kontraktor yang tidak berkeupayaan untuk memperbaharui lesen semakin bertambah dari sehari ke sehari.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat seramai 4,500 kontraktor di seluruh negeri ini, tetapi jumlah tersebut berkurangan kepada lebih 2,700 orang dan sebanyak 70 peratus merupakan kontraktor kelas kecil dan sederhana.

"Hanya 30 peratus sahaja yang ada kemampuan dan bergerak aktif. Kita dapati bilangan kontraktor bumiputera di negeri ini yang tidak mampu memperbaharui lesen bertambah.

"Mereka memerlukan jumlah modal tertentu dalam simpanan akaun bank sebagai syarat untuk tujuan berkenaan.

"Keadaan yang dilalui kontraktor itu kerana mereka tidak ada projek sekian lama atau menghadapi kekangan kekurangan kerja untuk dilaksanakan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKMMNK Ke-36 di sebuah hotel di sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Che Hashim Che Mood yang mewakili Pengarah JPP, Datuk Makhtar Mustapha.

Beliau berkata, kontraktor bumiputera di negeri ini amat memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri supaya dapat memberi peluang kepada mereka.

Mohd. Rosdi memberitahu, sebelum ini sebahagian daripada ahli persatuan bergantung harap kepada projek tertentu termasuk Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur asas (PIAS) serta rumah mesra rakyat yang disalurkan Kerajaan Pusat.

"Kali ini kita harap kerajaan negeri juga perlu melihat dan memberi peluang untuk kontraktor Melayu negeri ini mendapat projek.

"Saya harap kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Yakob lebih bersikap terbuka dan dapat melihat sesuatu bagi membantu kontraktor Melayu di negeri ini dalam mendapatkan projek bersesuaian dengan kemampuan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Rosdi memberitahu, PKMMNK akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ahmad bagi membincangkan hala tuju serta memberi maklum balas mengenai keperluan kontraktor Melayu di negeri ini supaya kerajaan negeri dapat membantu mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment