Bertindak tegas jika melangkaui batas perundangan
KUALA LUMPUR, RABU, 26 Jun, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melangkaui batas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan demi memastikan kedaulatan serta kesejahteraan negara sentiasa dihormati.
Walau bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, tindakan tegas itu bukan bermakna kerajaan gentar dengan penggunaan ungkapan Malaysia Spring yang digerakkan pembangkang dalam usaha mengguling kerajaan melalui demonstrasi jalanan.
Dalam masa sama, beliau menambah, kerajaan menghormati hak bersuara dan tidak akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menggunakan 'rakyat' untuk melahirkan perasaan tidak puas hati selagi tindakan mereka tidak melangkaui batas undang-undang negara.
"Jika melangkaui batas undang-undang Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tidak teragak-agak bertindak agar kedaulatan negara terus dihormati," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Najib, kerajaan yakin dengan kematangan dan kebijaksanaan rakyat dalam menilai sebarang usaha menggulingkan kerajaan melalui kaedah demonstrasi jalanan atau mencetuskan huru-hara yang tidak membawa sebarang kebaikan kepada Malaysia.
Contoh terbaik, jelas beliau, bagaimana negara-negara di Asia Barat yang bergolak angkara rusuhan serta demonstrasi jalanan berdepan masalah sosioekonomi, pembangunan terbantut, kecelaruan politik dan sosial secara berterusan sehingga kini.
"Pilihan raya sudah berakhir, kerajaan telah dibentuk dan semua Ahli Parlimen sudah mengangkat sumpah. Kini adalah masa dan detik untuk kita bergerak ke hadapan bagi membentuk Malaysia menjadi negara maju dan progresif," katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, perbezaan pandangan bukan penyebab malapetaka atau punca perpecahan kerana jika ditangani dan diurus dengan baik mampu mendatangkan rahmat serta kebahagiaan kepada rakyat dan negara.
Katanya, sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi sebagai teras pemerintahan kematangan serta kebijaksanaan rakyat sangat dituntut dalam menentukan barisan kepimpinan supaya objektif membawa Malaysia muncul negara maju tidak terbantut.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Latiff, Najib berkata, kerajaan tidak bercadang mewajibkan rakyat mengundi tetapi tidak menolak cadangan melaksana pendaftaran pengundian secara automatik sebaik sahaja berusia 21 tahun.
"Apa-apa undang-undang jika difikirkan baik, perlu dilihat dahulu sama ada boleh dikuatkuasakan secara praktikal atau tidak, tetapi pendaftaran automatik boleh dipertimbangkan walaupun kerajaan belum lagi mengambil apa-apa tindakan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment