My Add

Thursday, 27 June 2013

Hujan padam kebakaran hutan di Riau

 * BEBERAPA anggota tentera cuba memadamkan kebakaran tanah gambut di sebuah ladang kelapa sawit di Bengkalis, dalam wilayah Riau kelmarin.- AFP
DUMAI, RABU, 26 Jun, 2013: Kebakaran hutan di Indonesia yang menyebabkan jerebu di Singapura dan Malaysia berkurangan selepas hujan lebat semalam, sekali gus meningkatkan harapan krisis pencemaran udara di Asia Tenggara itu akan berakhir.

Jerebu kali ini adalah yang terburuk pernah melanda Singapura dan Malaysia.

Asap tebal akibat pembakaran hutan dan tanah pertanian di Pulau Sumatera menyebabkan jerebu mencatat paras tertinggi di Singapura pada minggu lalu.

Perubahan arah angin pula membersihkan udara di pulau itu tetapi jirannya, Malaysia masih dilanda masalah tersebut.

Kelmarin, mengerahkan beribu-ribu petugas bagi memadamkan kebakaran yang berpusat di wilayah Riau, Sumatera.

Mereka disokong beberapa helikopter yang menjatuhkan bom air di samping sebuah pesawat turut digunakan untuk mendorong hujan turun menerusi proses pembenihan awan.

Beberapa pegawai berkata, usaha tersebut mula membuahkan hasil apabila hujan lebat turun kelmarin dan awal semalam di beberapa kawasan di Riau.

Pegawai Agensi Bencana Kebangsaan, Agus Wibowo memberitahu agensi berita AFP bahawa setakat pagi semalam, bilangan titik panas kebakaran berkurangan kepada 54 berbanding 265 pada hari sebelumnya.

"Hujan banyak membantu usaha kami. Dengan cuaca memihak kepada kami, kami akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk memadamkan kebakaran," katanya.

Jerebu merupakan masalah tahunan di rantau Asia Tenggara berikutan tindakan pemilik ladang dan kebun menggunakan kaedah pembakaran sebagai cara murah untuk membersihkan tanah pertanian mereka. Pada tahun 1997 hingga 1998 jerebu teruk menyebabkan rantau Asia Tenggara kerugian sekitar AS$9 bilion (RM28.8 bilion) akibat perjalanan udara dan aktiviti perniagaan terganggu. - AFP/KOSMO!

No comments:

Post a Comment