Jalan sekitar Jonker Walk dibuka hari ini
MELAKA, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Kerajaan negeri tetap dengan keputusan untuk membuka jalan di sekitar Jonker Walk bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Banda Hilir, bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, pembukaan jalan itu tidak akan menjejaskan kira-kira 300 peniaga di situ kerana mereka masih dibenarkan berniaga seperti kebiasaan di sepanjang kaki lima.
"Kerajaan negeri perlu mendengar pelbagai rungutan daripada orang ramai yang datang ke negeri ini yang mana ada terperangkap antara tiga hingga empat jam disebabkan keadaan lalu-lintas yang sesak teruk di pusat bandar.
"Kita membuka laluan di sekitar Jonker Walk adalah untuk mengatasi masalah yang berlaku ini terutamanya pada hujung minggu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Seri Negeri di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Pembangunan Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad.
Sejak 13 tahun lalu, pasar malam yang dijayakan oleh kira-kira 300 peniaga di kawasan itu menjadi tumpuan ramai terutamanya pada hujung minggu bermula pukul 6 petang hingga 12 malam.
Menurut Ismail, kerajaan negeri akan menyediakan anggota penguatkuasa dan juga polis untuk memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan orang awam yang berkunjung dan membeli-belah di kawasan itu.
Sementara itu, kata Ghazale, peniaga yang terlibat di kawasan itu diingatkan agar sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan agar tidak membiarkan sampah daripada perniagaan mereka berselerakan ke kawasan laluan kenderaan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment