Friday, 28 June 2013

JPA rangka program transformasi

PUTRAJAYA, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengemas kini program transformasi perkhidmatan awam dengan melibatkan penilaian semula struktur organisasi beberapa bahagian di jabatan itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, penstrukturan semula yang akan dimulakan di jabatan tersebut bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan sistem penyampaian awam kepada orang ramai.

Katanya, pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang awam berkaitan mutu perkhidmatan yang lemah dan lambat, justeru langkah mengatasinya perlu dilaksanakan segera.

"Transformasi ini telah dimulakan beberapa bulan lalu dengan melibatkan struktur organisasi dalaman JPA dahulu supaya model ini dapat dicontohi oleh kementerian lain selepas ini.

"Beberapa perkara utama iaitu sumber manusia, struktur organisasi, penggunaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), hubungan dan patriotisme telah diambil kira supaya perubahan yang diterapkan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zabidi, menerusi perubahan tersebut kebolehan penjawat awam untuk membuat keputusan akan dipertingkatkan supaya orang ramai dapat berurusan dengan mudah dan cepat.

Katanya, dengan langkah tersebut pegawai kerajaan juga diberi kuasa membuat keputusan tanpa merujuk kepada pegawai atasan seperti ketua setiausaha dan lain-lain.

Pada masa yang sama, katanya, penerapan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan penjawat awam juga penting supaya setiap rahsia kerajaan tidak bocor.

"Sistem sebelum ini lambat kerana terdapat terlalu banyak tingkatan sebagai contoh selepas gred 41 ada gred 44 hingga gred 54 jadi kita lihat kenapa tidak menggunakan Strategi Lautan Biru supaya kita boleh bergerak secara berpasukan.

"Menerusi cara ini kita samakan organisasi itu dan tengok kerjasama yang boleh dilaksanakan supaya lebih mudah, cepat dan boleh bergerak secara berpasukan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, transformasi tersebut kemudiannya akan diperluaskan ke kementerian lain selepas perbincangan lanjut dibuat bersama ketua setiausaha kementerian yang terbabit.

Katanya, tempoh percubaan itu akan dibuat selama enam bulan sebelum mendapat maklum balas daripada pihak dalaman dan luar. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment