My Add

Thursday, 27 June 2013

Kerajaan jamin TPPA tidak akan korban kedaulatan negara: Mustapa

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingkan tidak akan meragut kedaulatan negara kerana ia tidak mengehadkan kerajaan untuk mengawal selia atau mengambil langkah perlu untuk melindungi hak dan kedaulatan tanah air.

Jaminan itu diberi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamad yang menyatakan bahawa tidak terdapat sebarang peruntukan dalam TPPA, khususnya berhubung penyelesaian pertikaian antara pelabur-kerajaan (ISDS), yang boleh mengancam kedaulatan tanah air.

"Tidak ada bab peraturan dalam TPPA yang boleh menghalang kerajaan daripada mengguna, mengekal atau menguatkuasakan langkah dasar domestik untuk melindungi kepentingan negara."

"Malaysia sebelum ini sudah menandatangani 74 perjanjian perlindungan pelaburan termasuk dengan Amerika Syarikat bermula sejak 1959 lagi yang mengandungi peruntukan sama dengan ISDS yang telah berjaya menarik masuk ramai pelaburan asing," katanya.

Beliau menjawab soalan Charles Santiago (DAP-Klang) dan beberapa pertanyaan anggota Parlimen lain dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Charles meminta penjelasan mengenai status terkini perbincangan FTA antara Malaysia dengan negara-negara TPPA dan sama ada kerajaan boleh menjamin kedaulatan negara tidak akan terkorban jika Malaysia menandatangani perjanjian itu.

Menjawab kerisauan berhubung ISDS yang dikatakan memberi peluang kepada firma multinasional (MNC) untuk membawa sesebuah kerajaan ke tribunal timbang tara antarabangsa, Mustapa berkata ia bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat asing tetapi juga syarikat-syarikat Malaysia yang memerlukan perlindungan apabila melabur di negara luar. 

Berhubung impak perjanjian TPPA kepada industri kecil dan sederhana (IKS) dan syarikat-syarikat bumiputera, Mustapa berkata rundingan turut mengambil kira aspek terbabit.

Ini, menurutnya, menjadikan TPPA perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama di dunia yang memberi perhatian kepada IKS dengan menyediakan bab khusus mengenainya bagi memastikan IKS tidak diabaikan.

Dalam pada itu, Mustapa menafikan dakwaan bahawa tiada sebarang konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum memutuskan untuk terlibat dalam rundingan TPPA.

"Konsultasi sewajarnya telah dibuat sebelum Malaysia terlibat dalam proses rundingan ini dan kerajaan juga telah berunding mengenai isu-isu berbangkit dengan pelbagai pihak," kata Mustapa.

Ini termasuk dewan-dewan perdagangan, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Majlis Aids Malaysia, Majlis Kanser Nasional (Makna), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam Malaysia, parti-parti politik, Suhakam dan sebagainya.

"Kita juga sudah mendedahkan keperluan yang semakin meningkat untuk syarikat Malaysia dan langkah fasilitasi yang boleh memudahkan penerangan mengenai pelaburan kepada syarikat Malaysia yang terlibat dalam pasaran global," katanya.

Kepada pertanyaan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) sama ada kerajaan akan menimbang untuk menarik diri daripada rundingan itu sekiranya ketegasan Malaysia tidak diterima anggota rundingan lain, Mustapa berkata Malaysia berhak tidak menandatangani sebarang perjanjian sekiranya mendapati kedaulatan negara terpaksa dikompromi.

"Kita (Malaysia) masuk dalam rundingan tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak, jadi kalau tak setuju negara boleh memilih untuk tidak menandatangani (perjanjian). Yang penting untuk pastikan kedaulatan negara terpelihara," katanya.

Menurut Mustapa, rundingan TPPA kini telah melalui 17 pusingan bermula Mac 2010 dan dijangka tamat akhir tahun ini, bergantung kepada fleksibiliti yang ditunjukkan anggota TPPA yang lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment