My Add

Friday, 28 June 2013

Lebih ramai pelajar Orang Asli akan dihantar lanjut pelajaran ke luar negara

 * MOHD. Shafie Apdal berbincang dengan beberapa ahli mesyuarat ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli kali ke-11 di Hotel Impiana, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyasarkan lebih ramai pelajar dari kalangan Orang Asli akan dapat dihantar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sehingga kini seramai 15 pelajar dari kalangan Orang Asli berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara antaranya Australia, Jepun dan United Kingdom dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan perakaunan.

"Ini adalah antara cabaran yang kita bakal lalui berhubung isu-isu Orang Asli. Aspek pendidikan merupakan antara keutamaan kementerian bagi mengurangkan kadar keciciran yang masih tinggi di kalangan kaum pribumi ini iaitu daripada 29 peratus pada 2009 kepada 25 peratus pada 2015," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli (MPKPMOA) di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, kementerian juga mensasarkan untuk meningkatkan kadar kemasukan pelajar Orang Asli ke IPT tempatan yang pada masa ini seramai 450 orang.

Selain itu, katanya, kementerian juga mempertimbangkan untuk menambah jumlah sekolah rendah untuk Orang Asli pada masa depan.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie yang memaklumkan perkembangan terkini cadangan bagi meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) berkata, ia sedang dalam perbincangan dengan pelbagai pihak.

Katanya, pindaan itu nanti apabila dibentang dan diluluskan di Parlimen akan memastikan kebajikan dan hak Orang Asli di negara ini terjamin selain membolehkan mereka menikmati arus pembangunan setanding dengan rakyat lain.

Antara perkara paling penting yang perlu diselesaikan melalui pindaan akta itu adalah berkaitan hak memiliki tanah di kalangan Orang Asli. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment