![]() |
| Shahrir Abdul Samad |
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, matlamat utama penubuhan majlis tersebut ialah penyatuan nasional di peringkat rakyat keseluruhannya dan tidak akan merencatkan matlamat itu sekiranya tidak ada penglibatan wakil daripada pembangkang.
Jelas beliau, majlis tersebut mampu 'bersuara' kerana bakal dianggotai kumpulan masyarakat yang lebih ramai seperti wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh akademik selain pemimpin Barisan Nasional (BN).
"Pembangkang akan kehilangan peluang untuk menyampaikan apa sahaja pandangan mereka jika tidak bersetuju penubuhan majlis ini.
"Namun perkara itu tidak akan memusnahkan harapan permuafakatan rakyat kerana ini usaha kerajaan bukan parti politik," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu merupakan asas utama dalam usaha mencapai matlamat perdamaian nasional.
Pada 6 Mei lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan melaksana usaha penyatuan nasional untuk mengerat semula hubungan antara rakyat di negara ini yang berpecah sehingga membentuk polarisasi kaum selepas pilihan raya umum.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihak pembangkang perlu membuktikan kejujuran dan keikhlasan untuk menyertai majlis tersebut tanpa ada motif tertentu yang akan menggunakan platform itu demi menghentam kerajaan.
"Kalau buat apa badan sekali pun adalah bergantung pada niat. Jika semata-mata untuk mencari populariti, usaha itu tidak akan mencapai matlamat.
"Kalau mereka benar-benar jujur, maka perlu buktikan dahulu kejujuran itu bukan mahu melihat semua kesalahan kerajaan," katanya.
Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, rakyat akan mempersalahkan pemimpin sekiranya wujud perpecahan antara kaum di negara ini.
Oleh sebab itu katanya, semua pihak perlu memikirkan mekanisme dan cara terbaik demi keharmonian negara.
"Bagaimanapun, pembangkang perlu menerima keputusan pilihan raya terlebih dahulu kerana ini ramuan terpenting jika tidak tumpuannya adalah berbeza," katanya.
Sementara itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, langkah penubuhan majlis itu dilihat positif tetapi penyertaan pembangkang perlu mendapat persetujuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula berkata, kerajaan perlu memperbaiki sistem pilihan raya sebelum berhasrat menubuhkan majlis itu.
Bagi Pas pula, Ketua Dewan Pemudanya, Nasrudin Hassan berkata, usaha tersebut perlu dilihat memberi kesan yang baik demi rakyat namun dengan syarat kerajaan perlu terlebih dahulu membersihkan sistem pilihan raya negara ini. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment