Najib mampu tingkatkan hubungan Malaysia-Afrika
DAR ES SALAAM (Tanzania), JUMAAT, 28 Jun, 2013: Ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini esok bagi menghadiri Dialog Perkongsian Pintar Global dijangka dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan di antara Malaysia dengan Afrika.
Najib akan mengetuai lebih 100 anggota delegasi Malaysia, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke dialog itu.
Beliau akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, selain ahli perniagaan yang terdiri daripada peneraju 28 syarikat Malaysia.
Najib dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Julius Nyerere di Dar Es Salaam pada 10 malam Jumaat (3 pagi 29 Jun waktu Malaysia).
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ismail Salam, yang juga ditauliahkan ke Tanzania, berkata Perdana Menteri akan menyertai 14 ketua negara dan kerajaan dari negara Afrika menghadiri dialog itu pada Sabtu, yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Julius Nyerere di Dar Es Salaam, yang mengambil sempena nama pengasas negara ini.
Sejajar dengan tema dialognya 'Memanfaatkan Teknologi Untuk Mentransformasi Sosioekonomi Afrika', Najib dijangka berkongsi dengan peserta dialog itu program transformasi beliau untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020, pada Sabtu dan Ahad.
"Kehadiran Malaysia pada dialog ini akan mempamerkan komitmen kita dalam menangani isu antarabangsa, terutama isu-isu penting bagi benua Afrika," katanya.
Ismail berkata Malaysia akan mempamerkan teknologi, produk dan perkhidmatannya dalam sektor pertanian, teknologi komunikasi maklumat (ITC) dan tenaga pada pameran yang diadakan sempena dialog itu di tempat yang sama.
Antara bahan yang akan dipamerkan adalah berkaitan pengeluaran benih, tisu kultur, baja bio, racun serangga bio, anak benih, perusahaan ternakan, pengurusan sisa pepejal, perisian insurans dan takaful, perisian keselamatan, kad pintar, sekolah pintar, penjanaan tenaga, perkhidmatan gas dan minyak, perkhidmatan pembersihan halal, pendidikan tinggi, minyak sawit, kimia, jentera dan bahan binaan.
Dr Mahathir dijadual bertindak sebagai seorang daripada 'Catalyser' bagi sesi dialog mengenai langkah memanfaatkan teknologi untuk pertumbuhan pintar dalam transformasi sosioekonomi, katanya.
"Negara Afrika memandang tinggi terhadap Malaysia mengenai pembangunan kerana pendapatan per kapita Malaysia mencapai kira-kira AS$10,000 (RM31,000), sedangkan pendapatan per kapita mereka masih dalam lingkungan AS$1,500 (RM4,650), walaupun mereka mencapai kemerdekaan lebih kurang sama waktunya dengan Malaysia.
"Mereka berharap pembangunan di rantau ini akan dapat dilonjakkan secara mendadak melalui kemajuan tekonologi," kata Ismail.
Dialog Perkongsian Pintar Global dilancarkan pada 1995 apabila Malaysia pertama kali menganjurkan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) untuk menjadi platform bagi perkongsian pintar dan menjadi pentas bagi ketua kerajaan, pemimpin perniagaan, saintis dan ahli akademik bertemu membincangkan idea dan pengalaman masing-masing dalam bidang sains, teknologi serta inovasi.
Sejak 18 tahun lalu, tuan rumah dialog ini bersilih ganti antara Malaysia dan negara dari rantau Afrika, dengan dialog di Afrika kali terakhir diadakan di Uganda pada 2009, manakala LID terakhir diadakan di Putrajaya pada 2011.
Diminta mengulas tentang jumlah pelaburan syarikat Malasyia yang boleh dikatakan kecil di rantau Afrika, walaupun Malaysia dan Afrika mempunyai hubungan rapat sejak 18 tahun lepas, Ismail berkata kebanyakan ahli perniagaan Malaysia agak keberatan memasuki pasaran Afrika kerana ia jauh dari negara mereka dan tidak begitu terbuka dan tidak mempunyai dasar perniagaan yang jelas serta telus.
Ditanya kenapa negara seperti China, India, Brazil dan Jepun sanggup melabur berbilion dolar dalam senario demikian, Ismail berkata mereka berani berbuat demikian kerana mendapat sokongan kewangan daripada bank pelaburan masing-masing.
China melabur AS$160 bilion, India (US$60 bilion), Jepun (AS$32 bilion) dan Brazil (AS$30 bilion) di negara Afrika. Walaupun tidak terdapat perangkaan bagi pelaburan Malaysia di rantau ini, namun jumlahnya adalah kecil.
"Kerajaan hanya boleh menyediakan kemudahan untuk mereka melabur dan berniaga, tapi merekalah yang perlu datang dan mengambil inisiatif," kata Ismail.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat peningkatan ketara dalam jumlah dagangan antara Malaysia dan tiga negara di timur Afrika iaitu Uganda, Tanzania dan Kenya, dengan jumlah dagangan di antara Malaysia dengan Uganda meningkat sekali ganda dan bertambah antara 20 dan 30 peratus dengan Kenya pada tahun lepas.
Katanya, bank pelaburan Malaysia boleh memain peranan lebih aktif dalam mempermudah urusan perdagangan dan pelaburan syarikat Malaysia di rantau ini.
Beliau berkata pendidikan, pelancongan dan pertanian merupakan sektor yang boleh diceburi pelabur Malaysia di rantau ini, termasuk melalui perkongsian pintar. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment