Friday, 28 June 2013

Pasangan ditahan bantu siasatan serangan bom

KOTA KINABALU, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kereta dibaling dengan sejenis bahan letupan di hadapan sebuah tokong pekan Donggongon, di sini malam kelmarin.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang berkata, pasangan berusia 38 dan 59 tahun itu ditahan di Penampang semalam.

"Kita masih menyiasat motif sebenar serangan terbabit dan siasatan awal mendapati kejadian merupakan serangan bersifat peribadi dan tidak berunsurkan pengganas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 19 dan 26 tahun terselamat selepas sempat keluar dari kereta setelah menyedari sesuatu dibaling ke arah mereka.

Letupan itu menyebabkan bahagian belakang kereta Proton Waja itu meletup dan bunyi tersebut dapat didengari sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam kes berasingan, seorang wanita warga emas rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kayu satu tingkat di Kampung Kalibata Baru, Kuala Tomani, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Rampoi Apon, 85, ditemui rentung di bahagian belakang rumah terbabit dan dipercayai gagal menyelamatkan diri semasa kejadian itu berlaku.

Pegawai Perhubungan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd. Affendy K. Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 10.23 malam dan sepasukan anggota telah dikejarkan ke lokasi.

"Mayat mangsa dibawa ke hospital berdekatan bagi tindakan lanjut sementara punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment