Thursday, 27 June 2013

Polis negeri minta Exco henti polemik isu CCTV

GEORGETOWN, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Polis Pulau Pinang meminta Exco Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow menghentikan polemik mengenai isu kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung perkara itu.

"Saya sudah bercakap dengan ketua menteri dan tidak perlu lagi panjangkan isu ini. Ketua Menteri juga bincang mahu tambah CCTV di tanah besar tapi jumlahnya belum diputuskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang turut membawa petugas media melawat bilik CCTV di IPK berkata terdapat 36 CCTV yang dipautkan dari Majlis Perbandaraan Pulau Pinang dan 24 CCTV dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipantau polis.

Baru-baru ini Kon Yeow mendakwa polis mengabaikan pemerhatian dalam CCTV sehingga menyebabkan seorang lelaki yang dikhuatiri tertimbus dalam insiden penebat kilat runtuh di Jalan Macalister baru-baru ini gagal dikesan lebih awal.

Abdul Rahim turut menafikan dakwaan Chow baru-baru ini bahawa polis mengeluarkan saman kepada orang ramai yang melanggar peraturan trafik dengan hanya melihat CCTV.

"Kita pantau CCTV dan arahkan Unit Tindakan Cepat pergi ke lokasi dan keluarkan saman secara bersemuka," katanya.

Katanya kertas siasatan mengenai penjual nasi Lim Chin Aik yang dipercayai mati tertimbus di kawasan runtuhan penebat itu telah selesai dan telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya semalam untuk tindakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment