Thursday, 27 June 2013

Sime Darby kemuka bukti tidak lakukan pembakaran di Indonesia

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Jun, 2013: Sime Darby Plantation hari ini mengesahkan tiada pembakaran di kawasan operasi syarikat itu di Indonesia.

Sime Darby dalam satu kenyataan memberitahu, syarikatnya telah memperbaharui data titik panas dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) satelit untuk tempoh 25 Mei hingga 25 Jun 2013, membabitkan kedudukan sistem peta kawasan konsesi di bawah PT Tunggal Mitra Plantation (PT TMP) dan PT Bhumireksa Nusa Sejati (PT BNS) di Riau.

"Pemadanan data titik panas dan peta kawasan konsesi menunjukkan bahawa semua titik panas berada di luar kawasan konsesi PT TMP. Bagaimanapun, terdapat tiga kawasan panas dalam PT BNS, namun terletak di luar kawasan operasi syarikat," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sime Darby Plantation menegaskan bahawa NASA satelit telah ketinggalan zaman berhubung maklumat tentang kawasan konsesi tanah milik syarikat tersebut.

"Kawasan konsesi telah dikurangkan selepas proses pelesenan tanah. Namun, NASA satelit menyatakan kawasan konsesi PT BNS adalah seluas 180,392 hektar sedangkan sebenarnya hanya 25.662 hektar.

"Daripada jumlah ini, 18.688 hektar adalah kawasan sebenar penanaman, manakala 1,530 hektar dijadikan kediaman syarikat dan pembangunan kawasan. Baki tanah tersebut kebanyakannya diduduki oleh masyarakat tempatan," jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, terdapat juga perbezaan berkaitan kawasan konsesi PT TMP. Data dari NASA satelit yang menyatakan saiz kawasan konsesi syarikat seluaskan 38.473 hektar sedangkan hanya 13,836 hektar, yang mana 2,474 hektar diduduki masyarakat tempatan.

"Sime Darby Plantation akan menerbit dan menyerahkan penemuan tersebut kepada Meja Bulat Minyak Sawit Mampan seperti yang diminta.

"Sime Darby Plantation dan syarikat miliknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menguruskan apa juga berhubung titik panas dan kebakaran demi kepentingan pekerja, orang awam dan alam sekitar," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan berkenaan, Sime Darby Plantation ingin mengulangi komitmen kepada dasar pembakaran sifar seluruh operasi di seluruh dunia.

"Amalan ini telah menjadi dasar yang ketat untuk Sime Darby Plantation sejak 1985,'' tegas kenyataan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment