Friday, 28 June 2013

Tambah bekalan rumah dalam pasaran

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Penambahan bekalan rumah dalam pasaran di kawasan strategik di bandar dan pinggiran bandar akan dapat membantu kerajaan dalam mengawal harga rumah bagi membolehkan rakyat membeli rumah pada harga munasabah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, antara inisiatif yang diambil ialah dengan membina lebih banyak rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan berpendapatan rendah dan penempatan semula.

"Kerajaan juga melaksanakan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak mengawal harga rumah secara mikro kecuali bagi rumah kos rendah yang tidak melebihi RM42,000 bagi Semenanjung dan tidak melebihi RM50,400 di Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerajaan juga mengambil tiga langkah bagi mengawal peningkatan harga rumah iaitu melalui pelaksanaan cukai keuntungan harta tanah (CKHT), nisbah pembiayaan perumahan dan mengikuti garis panduan Bank Negara dengan mengenakan syarat lebih ketat kepada peminjam bagi menjamin kemampuan mereka membayar balik pinjaman. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment