Thursday, 27 June 2013

YANG di-Pertuan Agong hadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu Ke-232 

 * TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-232 yang dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (dua dari kiri) di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-232 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Mesyuarat hari kedua hari ini dihadiri semua raja Melayu atau wakil masing-masing dan kesemua Yang Dipertua Negeri. Sultan Kedah diwakili Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Utama Tunku Annuar Sultan Badlishah, Perak oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah dan Pahang oleh Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut hadir hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam mesyuarat itu, raja-raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi Ketua Menteri.

Yang Dipertua Negeri Sarawak diiringi wakil Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Raja Perlis telah menyampaikan titah ucapan tahniah kepada Perdana Menteri yang dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini.

Kata beliau, Raja Perlis berharap agar negara terus mencapai kemajuan dan pembangunan pesat di samping mengekal dan memupuk perpaduan serta keharmonian di kalangan rakyat yang sudah sekian lama wujud.

Syed Danial juga memberitahu mesyuarat sudah diberikan taklimat terkini mengenai pertahanan dan keselamatan negara daripada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Tambah beliau lagi, turut dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah perkara berhubung agama Islam, pelantikan termasuk pelantikan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment