![]() |
*ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah anggota pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 5), Allahyarham Sarjan Rosdi Mohamad Zan sebaik tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, hari ini. - Foto BH Online |
SUBANG:, SELASA, 27 Ogos, 2013 Jenazah anggota pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 5), Sarjan Rosdi Mohamad Zan yang meninggal dunia akibat kemalangan kenderaan tentera di Lubnan, selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini, jam 4 petang tadi.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Pangkalan Udara Subang sebelum dibawa ke Balai Pergerakan Pangkalan Udara Subang untuk upacara penghormatan terakhir.
Jenazah kemudian akan diterbangkan ke Ipoh, Perak dengan pesawat C130 dari Pangkalan TUDM Subang untuk urusan pengkebumian jenazah.
Turut menyambut kepulangan Allahyarham ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Pemangku Panglima Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Abu Bakar Md Said dan pegawai kanan awam dan tentera Angkatan Tentera Malaysia.
Pada majlis itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mewakili Panglima Angkatan Tentera, menyampaikan sumbangan cek bernilai RM10,000 dari Tabung Amanah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada balu Allahyarham, Aliza Ariffin.
Rosmah yang diiringi anak lelakinya, Ashman Najib turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada balu Allahyarham.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.10 petang sebelum dibawa ke Pangkalan TUDM Subang untuk disembahyangkan.
Jumaat lalu, Rosdi, 32, meninggal dunia kira-kira jam 5.40 petang waktu Lubnan (10.40 malam waktu Malaysia).
Rosdi adalah anggota Malbatt 5 di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan.
Beliau terbunuh apabila kenderaan kembalik yang dinaikinya hilang kawalan dan terhumban ke dalam cerun sedalam 15 meter.
Nahas berlaku ketika kenderaan kembalik itu yang dalam operasi menunda kenderaan perisai Condor tiba di satu selekoh di kawasan operasi berhampiran bandar Houla.
Insiden turut menyebabkan dua lagi anggota Malbatt 5 cedera iaitu Lans Koperal Nur Syahied Taib dan Lans Koperal Mohamad Aizuwan Atan, kedua-duanya berusia 26 tahun. - BH

No comments:
Post a Comment