Thursday, 1 August 2013

Rumah pusaka ibu Exco Melaka terbakar

MELAKA, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Rumah arwah ibu seorang Exco Kerajaan Negeri Melaka musnah dalam kebakaran di Kampung Ayer Molek di sini awal pagi tadi.

Rumah itu milik ibu Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Md. Yunos Husin yang kejadiannya berlaku kira-kira 3.20 pagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek berkata, kejadian disedari adik bongsunya, Mohamad, 46, yang tinggal di rumah papan itu bersama isteri dan tiga orang anaknya.

"Adik saya yang sedang tidur terjaga kerana merasai panas akibat bekalan elektrik terputus. Dia kemudian keluar untuk melihat sama ada rumah berhampiran mempunyai bekalan elektrik atau tidak, tetapi terkejut apabila melihat api telah membakar sebahagian rumahnya," katanya kepada Bernama.

Md Yunos berkata, adiknya lalu mengejutkan isterinya, Siti Fauziah Abu Bakar, 30, dan tiga orang anak mereka yang berusia tiga hingga lapan tahun untuk menyelamatkan diri.

Beliau berkata, akibat kebakaran itu, beliau dan enam lagi adik-beradiknya tidak dapat berkumpul di rumah pusaka itu pada Aidilfitri kali ini seperti yag sering mereka lakukan setiap tahun.

"Saya berasa sedih tapi kejadian sudah berlaku dan kami reda dengan apa yang berlaku. Kali ini kami tujuh beradik akan beraya di rumah salah seorang daripada kami yang tinggal berhampiran rumah itu," katanya yang menganggarkan kerugian bernilai kira-kira RM110,000.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.42 pagi dan tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian dengan tiga jentera dari balai bomba Bukit Katil dan Jalan Kubu beserta sembilan anggota.

"Ketika bomba tiba di lokasi, api dalam keadaan marak dan memusnahkan sebahagian rumah berkenaan," katanya.

Api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 5.13 pagi.

Kebakaran memusnahkan 85 peratus dari struktur rumah tersebut dan puncanya masih dalam siasatan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment