Wednesday, 4 September 2013

Bayar sendiri petrol, diesel

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM, SELASA, 03 Sept., 2013: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dinasihatkan agar tidak bersikap selektif apabila membuat cabaran supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menteri-menteri Kabinet membayar sendiri perbelanjaan petrol dan diesel.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Rafizi perlu mengemukakan cabaran tersebut kepada Menteri Besar dan juga barisan Exco kerajaan negeri yang dipimpin pakatan pembangkang iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Tegas beliau, pihaknya bersikap terbuka dengan cadangan tersebut dan kemungkinan boleh dipertimbangkan pada masa depan namun perkara itu harus dilihat dalam konteks sama ada melibatkan urusan peribadi atau tugas-tugas rasmi kerajaan.

"Tidak ada masalah menteri bayar sendiri petrol dan diesel, kalau melibatkan kegunaan peribadi atau lain-lain kegunaan melainkan atas urusan rasmi kerajaan.

"Namun Rafizi juga mesti mengemukakan cabarannya itu di negeri yang dikuasai PKR, DAP dan Pas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-6 dan majlis hari raya Radio Bernama 24 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menerusi laporan www.keadilandaily.com mengeluarkan kenyataan mencabar Perdana Menteri dan menteri Kabinet membayar sendiri perbelanjaan petrol dan diesel yang didakwanya selama ini dinikmati mereka atas pembiayaan wang rakyat secara percuma.

Cabaran itu dikemukakan berikutan pengumuman kenaikan harga minyak RON 95 dan diesel sebanyak RM20 sen berkuat kuasa tengah malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery ketika ditanya mengenai pelaksanaan nyanyian lagu Negaraku di pawagam di seluruh negara yang berakhir hari ini berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk melakukan perkara yang sama sempena Hari Malaysia pada 16 September ini.

"Saya minta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) meneliti perkara itu dari segi klip video, kos dan sebagainya. Mungkin tahun depan saya cadangkan buat selama sebulan," kata beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment