My Add

Tuesday, 3 September 2013

ESSCOM jalankan bancian penduduk Kampung Air di Sandakan

LAHAD DATU, SELASA, 03 September, 2013: Ketua Pengarah Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek berkata bancian penduduk akan dijalankan di Kampung Mangkalinau dan Kampung BDC, di Sandakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, bancian penduduk itu bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aspek keselamatan dan demografi penduduk kawasan perkampungan air berkenaan bagi memudahkan proses penyusunan semula penduduk dan perkampungan itu.

"ESSCOM akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Persediaan Bancian, pada 5 Sept yang antara lain bagi membincangkan perkara berkaitan dengan bilangan rumah, jumlah penduduk warganegara dan bukan warganegara di kedua-dua perkampungan berkenaan," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri ESSCOM di Pangkalan Pasukan Polis Marin di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga pengurus ESSCOM, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Datuk Abdul Rashid Harun dan Pengarah Bahagian Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Noor Osman.

Justeru, beliau berharap Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung akan memberi kerjasama bagi melicinkan proses bancian tersebut kerana ia bertujuan mendapatkan maklumat dan bukan operasi menangkap pendatang asing.

Mohammad berkata, maklumat yang diperoleh daripada bancian akan mempermudahkan kerajaan melaksanakan proses penyusunan semula penempatan atas air sama ada menaik taraf kampung atau memindahkan penduduk.

Beliau menjelaskan, walaupun terdapat 131 perkampungan air di Sabah membabitkan 22,600 rumah dengan seramai 136,000 penduduk, tidak semua penempatan akan dipindahkan, kecuali kawasan yang berisiko dan mengancam keselamatan negara. 

Sementara itu, Mohammad juga berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perumahan Negara supaya Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dirancang di kawasan ESSCOM diselaraskan dengan cadangan penempatan semula perkampungan air ada kini.

Mengulas perkampungan atas air Mukim Simunul, Semporna, Mohammad berkata, kesemua penduduk sembilan kampung di mukim berkenaan akan dipindahkan sepenuhnya di PPR Bubul Lama yang mempunyai 837 unit rumah.

Mengulas usaha peningkatan dan memantapkan keupayaan ESSCOM, Mohammad berkata, permohonan bagi penambahan perjawatan dalam ESSCOM telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pertimbangkan.

Katanya, ESSCOM juga sudah mengenal pasti pejabat yang akan disewa untuk menempatkan anggotanya dan proses mengubah suai pejabat berkenaan dijangka siap November depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment