![]() |
| Anthony Loke Siew Fook |
Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, Anthony juga perlu meminta maaf kepada semua ahli DAP sekiranya gagal mengemukakan salinan surat berkenaan.
"Kami hairan mengapa lambat sangat Anthony mahu mengemukakan salinan asal surat pengakuan itu sedangkan pihak ROS masih menunggu siang dan malam.
"Adakah benar dakwaan bahawa Anthony menunggang basikal untuk pergi menghantar 500 salinan surat pengakuan asal kepada Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman di pejabat beliau?," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kegagalan Anthony serta DAP mengemukakan kepada pihak ROS sejumlah 500 surat asal yang didakwa ditandatangani oleh para perwakilan DAP yang membuat pengakuan bahawa mereka telah menerima notis mesyuarat dan tidak dapat hadir pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 15 Disember lalu.
Mengulas lanjut, Zamil turut mempersoalkan tindakan Anthony serta DAP yang masih berdiam diri dan menyifatkannya sebagai bermain sandiwara.
"Dulu DAP kata wujud 40,000 warga Bangladesh dan sekarang dakwa pula ada 500 surat pengakuan dari perwakilan yang tidak hadir pada pemilihan CEC parti itu. Bila kita cabar, mereka lari kepada Mummy Foo (seorang wanita yang dikatakan rapat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang).
"Di mana 40,000 warga Bangladesh, di mana 500 surat pengakuan dan di mana Anthony? Isu ini telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai sejak kebelakangan ini, apakah ini semua merupakan sandiwara serta drama politik DAP?," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment