Sunday, 1 September 2013

Generasi muda perlu ambil iktibar kisah perjuangan kemerdekaan negara

KUDAT, AHAD, 01 September, 2013: Generasi muda tidak harus memandang ringan erti kemerdekaan, sebaliknya mengambil iktibar kisah perjuangan pejuang-pejuang terdahulu yang mempertahankan bangsa dan tanah air.

Ketua Wanita Umno Bahagian Kudat, Datuk Aminah Ambrose berkata semua pihak harus mempertahankan kemerdekaan negara yang kini menikmati pelbagai kemudahan dan persekitaran yang jauh lebih baik berbanding ketika era penjajahan.

"Bagi meneruskan perjuangan dan kemerdekaan ini, generasi kini perlu menerapkan perpaduan, mewujudkan persefahaman dan persekitaran yang seimbang selain keadilan sesama kaum di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Merdeka Raya di Astana Kudat, di sini semalam.

Aminah berkata rakyat seharusnya mengambil peluang sambutan kemerdekaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai menghargai dan cintakan negara.

Ketua Puteri Umno Tuaran, Effaridun Datuk Ismail juga berpandangan bahawa generasi muda masa tidak harus berbangga lahir pada 'zaman kemewahan' negara yang telah membangun.

"Remaja perlu menyedari hakikat bahawa mereka mesti memahami erti kemerdekaan serta melengkapkan diri dengan keilmuan seimbang iaitu agama dan akademik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment