Monday, 2 September 2013

Guan Eng takut Tanda Putera dedah fakta sebenar

 Mohamed Razali
KUALA LUMPUR, AHAD, 01 September, 2013: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebenarnya khuatir filem Tanda Putera yang kini ditayangkan di pawagam- pawagam seluruh negara akan mendedahkan fakta sebenar kepada generasi muda hari ini mengenai punca sebenar berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, Setiausaha Agung DAP itu sebenarnya sangat takut dengan kebenaran yang dipaparkan melalui filem berkenaan yang menceritakan kejadian sebenar yang penuh dengan fakta.

"Mereka tidak mahu generasi sekarang tahu siapakah punca kejadian itu berlaku. Mereka sepatutnya tengok dahulu filem ini dan baru komen," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas Guan Eng melarang tayangannya di Pulau Pinang kerana mendakwa terdapat babak yang berbaur perkauman.

Walau bagaimanapun, Guan Eng kemudian menyatakan beliau tidak pernah menghalang tayangannya sebaliknya hanya menasihatkan pengusaha panggung wayang di negeri tersebut berbuat demikian.

Filem patriotik itu antara lain mengisahkan tentang perjuangan Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam mentadbir negara serta cabaran yang dihadapi mereka selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Mohamed Razali berkata, Guan Eng juga tidak wajar menuduh filem berkenaan mengandungi unsur-unsur fitnah dan babak sensitif memandangkan beliau belum menonton filem berkenaan.

"Belum tengok tetapi sudah kata filem ini rasis. Kalau mahu, saya boleh bawa mereka tonton filem ini. Saya baharu sahaja tengok filem ini dan bagi saya, setiap rakyat Malaysia wajib menonton filem ini terutama generasi muda," katanya. - UTUSANN 

No comments:

Post a Comment