Tuesday, 3 September 2013

Inkues insiden penebat kilat runtuh bermula

GEORGE TOWN, ISNIN, 02 September, 2013: Inkues bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, yang dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini, bermula hari ini.

Isteri mangsa, Lee Chai Song, 48, berkata Chin Aik tidak pernah keluar rumah tanpa memaklumkannya terlebih dahulu dan pada hari kejadian, suaminya keluar dengan memandu kereta Honda City untuk mengambil anak bongsu mereka kerana cuaca kurang elok dan mungkin hujan.

Beliau berkata, pada kebiasaannya, kedua-dua beranak itu akan tiba di rumah sekitar 7.30 malam, bagaimanapun, pada hari kejadian, Chin Aik langsung tidak pulang manakala anak mereka dihantar oleh guru sekolah pukul 9.30 malam.

‘‘Sebanyak dua kali anak saya buat panggilan dari sekolah memberitahu bahawa ayah belum tiba lagi untuk mengambilnya, saya hanya meminta dia bersabar kerana mungkin ayah tersekat dalam kesesakan lalu lintas sebab hujan lebat,’’ kata saksi pertama prosiding inkues berkenaan di depan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim.

Chin Aik dikhuatiri tertimbus dalam kejadian ribut pada 13 Jun setelah pasukan mencari dan menyelamat menemui beberapa cebisan sebuah kereta Honda City berwarna kelabu yang terbenam di kawasan runtuhan itu dua hari selepas kejadian.

Lee membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya sehari selepas kejadian dan susulan itu, pihak berkuasa melancarkan operasi mencari serta mengesan mangsa namun terpaksa dihentikan sepenuhnya pada 17 Jun bagi mengelak struktur bangunan warisan di kawasan runtuhan terjejas.

Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara UMNO yang runtuh.

Inkues itu juga bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian dan bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment