Tuesday, 3 September 2013

KWSP catat RM9.16 bilion pendapatan pelaburan pada suku kedua 2013

KUALA LUMPUR:, SELASA, 03 September, 2013: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan RM9.16 bilion atau peningkatan 20 peratus dalam pendapatan pelaburan pada suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2013, berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh sumbangan daripada ekuiti.

Ekuiti menyumbang pendapatan pelaburan terbesar dengan menjana RM5.60 bilion atau kenaikan sebanyak 45.70 peratus dalam suku tahun dikaji berbanding dengan RM3.84 bilion pada suku sama 2012.

"Peningkatkan ini dipacu terutamanya oleh keuntungan daripada ekuiti domestik dengan memanfaatkan kecairan dagangan dan harga pasaran ekuiti domestik yang bertambah baik pada Mei dan Jun selepas berakhirnya Pilihan Raya Uumum ke-13," kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Hartanah dan Infrastruktur terus mencatatkan pertumbuhan kukuh pada suku kedua 2013 dengan pendapatannya meningkat daripada RM14.38 juta pada tempoh sama tahun lepas kepada RM296.28 juta.

Dividen interim diterima daripada Kwasa Global (Jersey) Ltd UK, anak syarikat KWSP yang menguruskan pelaburan hartanah luar negara menyumbang pendapatan dengan ketara pada suku tahun kedua 2013.

Pada suku tahunan dalam kajian, pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf ialah sebanyak RM1.53 bilion, naik RM34.21 juta berbanding dengan tempoh sama pada tahun sebelumnya manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang RM215.20 juta dalam suku tahun dikaji.

Menurut kenyataan itu, pendapatan daripada Pinjaman dan Bon lebih rendah iaitu RM1.53 bilion berbanding dengan RM2.06 bilion pada suku tahun kedua 2012, disebabkan keuntungan secara sekali yang diperoleh pada 2012 tidak berulang pada suku kedua tahun ini.
 
Setakat 30 Jun 2013, aset pelaburan KWSP meningkat RM59.30 bilion kepada RM554.14 bilion daripada RM494.84 bilion pada suku kedua tahun lepas.

Menurut kenyataan itu, caruman yang diterima pada suku dalam kajian berjumlah RM13.88 bilion berbanding RM9.73 bilion jumlah pengeluaran, menghasilkan aliran masuk dana bersih sebanyak RM4.15 bilion pada suku tahun dikaji.

Pada suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2013, tambahan pelaburan luar negara sebanyak US$2.51 bilion telah dibuat dalam ekuiti, bon dan hartanah global. 

Daripada jumlah tersebut, US$2.15 bilion disalurkan ke mandat ekuiti global untuk mengambil peluang terutamanya dalam pasaran maju.

Sehingga Jun tahun ini, jumlah pendedahan KWSP dalam aset pelaburan global ialah 18.97 peratus daripada jumlah aset pelaburan berdasarkan nilai buku.

Menurut kenyataan itu, pada tempoh dikaji, KWSP menyuntik US$1.20 bilion kepada pengurus dana luaran untuk mandat ekuiti global manakala penyumberan luar sejumlah RM1 bilion dan RM850 juta masing-masing untuk mandat pendapatan tetap dan ekuiti domestik.

Mengulas mengenai prospek untuk sepanjang tahun, Shahril Ridza berkata peningkatan peruntukan KWSP dalam aset global akan membantu mengimbangkan sebarang penurunan nilai jangka pendek dalam pasaran domestik atau Ringgit dan membolehkannya menangani ketidaktentuan dan kesan risiko dengan lebih baik.

"KWSP akan terus berhati-hati terhadap perkembangan pasaran global dan domestik untuk melindungi pelaburannya demi manfaat ahli KWSP," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment