Pelajar dikenal pasti suspek buang bayi dalam loji kumbahan
KUALA TERENGGANU, SELASA, 03 Sept Polis berjaya mengesan pelajar perempuan yang dipercayai suspek utama kes pembuangan bayi yang ditemui mati dalam loji kumbahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pihaknya memeriksa asrama pelajar perempuan awal pagi ini dan menemukan kesan darah serta tidak menolak darah itu milik pelajar terbabit.
Katanya, pelajar berusia 19 tahun yang berasal dari Selangor kini dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan.
"Hasil siasatan yang dijalankan, kita percaya pelajar berkenaan terlibat dalam kes ini dan kita akan menyiasat daripada pelbagai aspek termasuk kesihatan, psikologi dan sampel darah pelajar berkenaan," katanya ketika ditemui hari ini.
Mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui terapung di loji itu oleh kontraktor pembersihan yang menjalankan kerja penyelenggaraan kumbahan.
Mengulas lanjut, Manoharan memberitahu, pelajar perempuan itu akan ditahan sebaik sahaja selesai menerima rawatan dan polis turut mengenal pasti teman lelakinya berusia 20 tahun juga berasal dari Selangor.
"Polis akan memanggil teman lelaki pelajar berkenaan dan kita akan rakam percakapannya untuk siasatan lanjut," katanya. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130903/je_17/Tahanan-lolos-Empat-anggota-polis-antara-9-ditahan#ixzz2dpDYmKX9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment