Pengguna pas One Asia nikmati banyak imbuhan
KUALA LUMPUR, RABU, 04 September, 2013: Pengunjung ke lapan bandar raya Asia, termasuk Kuala Lumpur akan berpeluang menikmati pelbagai imbuhan seperti diskaun, hadiah dan kemudahan lain melalui program 'One Asia Pass' yang dilancarkan hari ini.
Lapan bandar raya berkenaan adalah anggota Majlis Penggalakan Pelancongan Asia (CPTA). Selain Kuala Lumpur, CPTA turut dianggotai Seoul, Tokyo, Hanoi, Bangkok, Jakarta, Taipei dan Delhi.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup berkata, melalui penggunaan pas itu, pelancong yang berkunjung ke bandar raya berkenaan akan menikmati pelbagai tawaran promosi istimewa daripada penyedia produk dan perkhidmatan pelancongan.
"Ini termasuk diskaun bagi produk tarikan pelancongan dan diskaun beli-belah serta menikmati hidangan dan hadiah apabila membuat pembelian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif itu di sini hari ini.
Beliau berkata, program itu adalah sebahagian daripada kempen 'Welcome to Asia', yang bertujuan meningkatkan jualan dan menggalakkan pelancong tinggal lebih lama di bandar raya yang menganggotai CPTA.
Salleh berkata, usaha itu diharap dapat menarik lebih ramai warga Barat melawat rantau ini, di samping menggalakkan kegiatan melancong dalam kalangan penduduk Asia.
Katanya program ini berpotensi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong dari luar Asia ke Malaysia bagi menjana pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan.
Mereka yang ingin menikmati manfaat daripada One Asia Pass dan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, boleh melayari www.welcometoasia.jp. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment