Monday, 2 September 2013
Penjenayah lolos ketika dibawa ke Simpang Renggam
Oleh FARABI SAID
SEREMBAN, ISNIN, 02 September, 2013: Seorang penjenayah meloloskan diri dari kawalan dua anggota polis selepas van yang dinaiki di rempuh di Hentian Rehat dan Rawat di Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini semalam.
Kejadian berlaku selepas penjenayah terbabit memberikan alasan untuk ke tandas kerana sakit perut sebelum dia menolak salah seorang anggota polis yang mengawalnya.
Dalam kejadian pukul 8.10 pagi itu, suspek yang berusia 39 tahun menaiki sebuah van dan diiringi dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk dibawa ke penjara Simpang Renggam, Johor.
Menurut sumber, suspek ditahan polis pada 4 Julai lalu di sebuah rumah di Taman Sri Pulai dekat sini dan telah mendapat perintah mahkamah untuk ditahan di Simpang Renggam mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).
"Ketika dibawa menaiki van, penjenayah itu bergari dan dia tiba-tiba mengadu sakit perut dan meminta untuk ke tandas.
"Sewaktu salah seorang anggota polis itu membuka pintu van, sebuah kereta Proton Satria berwarna merah muncul dan merempuh belakang van. Suspek kemudian menolak anggota polis itu dan menaiki kereta tersebut dipandu seorang lelaki," katanya ketika ditemui hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment