Polis cari pelajar UiTM terlibat kes buang bayi
KUALA TERENGGANU, ISNIN, 02 September, 2013: Polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat dalam kes pembuangan seorang bayi perempuan yang ditemui mati dalam sebuah loji kumbahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dungun, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pihaknya yakin dapat mengesan suspek tidak lama lagi bagi menyelesaikan kes ini.
Menurut beliau ketika ini, polis melakukan pemeriksaan ke atas semua pelajar perempuan di universiti tersebut.
"Pelajar sudah mula kembali ke universiti selepas bercuti dan ini masa sesuai untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pelajar-pelajar di universiti itu satu persatu.
"Kita yakin dapat mengesan suspek dan menyelesaikan kes ini serta memberkas individu terlibat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Khamis lalu, mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat ditemui terapung dalam loji kumbahan oleh kontraktor pembersihan UiTM yang menjalankan kerja penyelenggaraan kumbahan kira-kira 11.30 pagi.
Mayat bayi dipercayai dilahirkan dua hari sebelum itu ditemui kebiru-biruan manakala kepalanya pecah serta bahu kanannya patah serta sebahagian tubuh telah mereput. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment