Wednesday, 4 September 2013

Polis NS berjaya tahan semula penjenayah lolos

Oleh Noor HANIS HARUN

SEREMBAN, RABU, 04 September, 2013: Seorang penjenayah yang meloloskan diri daripada kawalan polis dalam kejadian di Hentian Rehat dan Rawat Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban di sini pada Ahad lalu berjaya ditahan semula di sebuah rumah di Semenyih, Selangor semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, suspek B. Kishminderjit Sigh, 39, ditahan sekumpulan anggota polis yang menyerbu rumah berkenaan kira-kira 8.40 malam.

Katanya, ketika ditahan suspek cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan tetapi lelaki itu berjaya ditahan.

"Ketika ditahan suspek tinggal seorang diri dan hasil pemeriksaan kita juga berjaya menjumpai sejumlah kecil dadah jenis heroin di rumah berkenaan dan gari.

"Kita juga turut menjumpai sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna merah yang digunakan oleh suspek untuk melarikan diri,'' katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Akhbar ini melaporkan Kishminderjit yang merupakan tahanan kes dadah lolos ketika dua anggota yang mengiringnya berhenti di hentian rehat berkenaan selepas lelaki itu mengadu sakit perut.

Dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, Kishminderjit yang bergari di belakang menolak anggota polis yang membuka pintu van lalu masuk kedalam sebuah kereta Proton Satria dan beredar.

Kishminderjit Singh memiliki lapan rekod jenayah lampau dan pernah di tempatkan di Batu Gajah dan Simpang Renggam di bawah Langkah -Langkah Pencegahan Khas pada tahun 2002 dan 2007 selain terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah termasuklah kes dadah dan curi.

Hamdan memberitahu, suspek kini ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu orang yang melawan atau menghalang daripada ditangkapnya menurut undang-undang.

Menurutnya, pihaknya juga sedang melengkapkan siasatan terhadap tujuh orang termasuk empat anggota polis yang ditahan susulan kes itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment