My Add

Tuesday, 3 September 2013

Projek pembangunan rakyat ikut kemampuan - PM

*NAJIB Razak bersalaman dengan warga Unit Penyelarasan Pelaksanaan(ICU) pada majlis sambutan Aidilfitri ICU, Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - UTUSAN
PUTRAJAYA, ISNIN, 02 September, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan projek-projek pembangunan dalam usaha memenuhi permintaan rakyat, namun masih bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

Perdana Menteri berkata kriteria tertentu akan dinilai sebaik-baiknya sebelum projek-projek pembangunan dilaksanakan.

"Bukan bererti bahawa semua permintaan boleh kita tunaikan. Mesti ada batas kewangan. Bagaimana cara pun ada batas kewangan. Kalau kita berbelanja terlalu berlebihan, ekonomi kita akan merosot.

"Kalau kita tidak belanja maka ekonomi kita tidak berkembang. Jadi belanjalah secara berhemah dan cubalah mendapatkan nilai yang maksimum bagi setiap ringgit yang kita belanjakan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis Hari Raya Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri percaya ICU akan terus memainkan peranan sebagai sebuah jabatan yang sangat penting dalam menyokong usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan negara dan melakukan transformasi yang besar kepada negara.

Sambil berterima kasih kepada jabatan itu kerana memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada kerajaan, Najib turut mengakui bukan mudah untuk ICU berada di barisan hadapan.

"Saya tahu bukan mudah berada di barisan hadapan mengendalikan begitu banyak permintaan, kadang-kadang kerenah orang ramai, kerenah wakil rakyat juga.

"Tetapi semua kita lakukan kerana permintaan rakyat, daripada segi projek-projek pembangunan adalah sentiasa berada pada paras yang tinggi," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment