My Add

Sunday, 1 September 2013

Saya mungkin terus jadi Presiden MIC selepas penggal tamat 2016: Palanivel

 *G Palanivel mengangkat tangan bersama Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam dan Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan selepas diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden parti itu di Wisma MIC di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, AHAD, 01 September, 2013: Datuk Seri G Palanivel yang mengekalkan jawatan Presiden MIC tanpa bertanding hari ini berkata beliau mungkin terus memegang jawatan tertinggi parti itu malahan selepas penggalnya tamat pada 2016.

"Saya menerima sokongan besar pada pencalonan hari ini. Saya mendapat 617 pencalonan atau 96 peratus sokongan daripada pengerusi cawangan untuk jawatan ini. Ini satu petanda baik dan pemulaan baik buat diri saya.

"Lebih daripada 3,000 pengerusi cawangan mahu saya terus menjadi presiden. Saya akan buat keputusan pada 2016. Saya juga berasa mahu bersara tetapi pengerusi cawangan memaksa saya meneruskannya," katanya kepada pemberita selepas beliau diumumkan sebagai Presiden MIC ke-8 di ibu pejabat parti di sini, hari ini.

Terdahulu, pengerusi jawatankuasa pemilihan presiden MIC, Tan Sri K Kumaran mengumumkan Palanivel memenangi jawatan presiden parti tanpa bertanding selepas mendapat 617 pencalonan, jauh lebih tinggi daripada 50 pencalonan diperlukan.

Bagaimanapun, Palanivel menegaskan beliau mahu menumpukan usaha memperkukuh status parti daripada segi kapasiti kewangan dan keanggotaan dalam tempoh tiga tahun akan datang. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment