Tuesday, 3 September 2013

Sembilan individu ditahan susulan penjenayah lolos

Oleh FARABI SAID AL JABRI

 *HAMDAN Majid (kiri) menunjukkan gambar seorang penjenayah yang meloloskan diri di Hentian Rehat dan Rawat, Plaza Tol Setul Lebuh Raya Kajang-Seremban kelmarin dalam sidang akhbar di IPK Seremban hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK AID.
SEREMBAN, SELASA, 03 September, 2013: Empat anggota polis adalah antara sembilan yang ditahan bagi membantu siasatan kes seorang penjenayah meloloskan diri di Hentian Rehat dan Rawat, Plaza Tol Setul dekat Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) kelmarin.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 50 tahun itu ditahan di Nilai dan Taman College Heights, Sikamat petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid memberitahu, empat anggota polis yang ditahan berpangkat koperal dan konstabel bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.

Beliau berkata, kesemua anggota polis itu disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu kakitangan awam dengan cuai membiarkan orang lari dari tahanan dan Seksyen 224 kanun yang sama iaitu menghalang pesalah daripada ditangkap mengikut undang-undang.

"Pada masa yang sama polis telah memeriksa sebuah rumah di Taman College Heights kira-kira pukul 6 petang semalam dan menahan seorang lelaki dan empat wanita.

"Siasatan mendapati lelaki terbabit dan dua daripada wanita itu yang berusia antara 21 hingga 30 tahun positif mengambil dadah.

"Polis percaya dua wanita berkenaan mempunyai maklumat tentang suspek yang meloloskan diri itu. Lelaki terbabit dan dua wanita itu kini ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN ONLINE

5











Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130903/je_13/Tujuh-individu-ditahan-susulan-penjenayah-lolos#ixzz2dpAxwu5Y
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment