Tiada alasan peniaga naik harga - Hasan Malek
KUALA LUMPUR, SELASA, 03 September, 2013: Para peniaga tidak mempunyai alasan kukuh menaikkan harga barangan sesuka hati berikutan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel yang diumumkan semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata hasil kajian yang dijalankan pihaknya mendapati kesan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter kepada peniaga dianggarkan hanya sekitar 0.1 peratus.
Sehubungan itu beliau mengingatkan semua peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan sesuka hati kerana kenaikan itu juga dilihat tidak meletakkan mereka dalam keadaan terdesak untuk berbuat demikian.
"Bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang, seramai 1,845 anggota penguat kuasa dan 1,071 pegawai pemantau telah mula dikerah.
"Mana-mana peniaga yang ingkar dan berdegil, kita akan hukum mereka dengan segala akta dan undang-undang sedia ada seperti Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010 supaya tidak ada pihak yang berani menaikkan harga sesuka hati," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Penilai Harta Intelek anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di sini hari sini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment