Monday, 2 September 2013

Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Thailand

SEPANG, ISNIN, 02 September, 2013 : Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat ke Thailand hari ini, bagi mengadakan lawatan negara selama tiga hari.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada kira-kira jam 10.15 pagi.

Turut mengucapkan selamat berangkat ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sebelum berangkat, Yang di-Pertuan Agong memeriksa barisan kehormat Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Ini adalah lawatan kali ketiga baginda ke negara Asean selepas Indonesia dan Brunei pada tahun lepas, sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, pada 11 April tahun lepas.

Lawatan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Thailand.

Turut mengiringi lawatan Seri Paduka berdua ke Thailand ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Sempena lawatan ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan dikurniakan darjah kebesaran Thailand oleh Raja Bhumibol Adulyadej di Istana Klai Kangwon di Hua Hin.

Tuanku Abdul Halim turut dijangka menerima menghadap Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra serta dipersembahkan dengan Kunci Kota Bangkok oleh Gabenor Kota Bangkok, Sukhumbhand Paribatra.

Seri Paduka berdua turut dijadual melawat beberapa tempat termasuk pameran di Ananta Samakhom dan Istana Besar Cakri Maha Prasad.

Dalam atur cara berasingan, Tuanku Hajah Haminah akan mengadakan lawatan ke Rumah Palang Merah Kanak-Kanak Bangkok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment