My Add

Saturday, 5 October 2013

2.5 juta pekerja asing guna i-Kad

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 *ZAHID Hamidi, Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) dan Izham Yusoff (dua dari kanan) melihat i-Kad ketika melakukan lawatan kerja di PNMB di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Aizzul A. Majid
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Sejumlah 2.5 juta pekerja asing di negara ini akan menggunakan kad identiti, i-Kad yang memiliki ciri-ciri keselamatan berteknologi tinggi berkuat kuasa 15 November ini sebagai usaha kerajaan membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melulus dan mengeluarkan arahan tersebut, semalam.

Malah, jelas beliau, arahan itu juga disahkan dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang bermesyuarat di Parlimen baru-baru ini.

Selain pekerja asing, menurutnya, i-Kad bakal diperluaskan kepada penuntut asing dengan Percetakan Nasional (M) Bhd. (PNMB) akan mengetuai konsortium pengeluaran kad berkenaan.

"Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen untuk mengeluarkan suatu pengenalan diri kepada semua pekerja asing di negara ini.

"I-Kad akan dilengkapi ciri keselamatan bagi kegunaan pegawai-pegawai dan anggota penguat kuasa menentukan kesahihan pekerja asing yang memperolehi dokumen yang dikeluarkan Jabatan Imigresen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke PNMB dan melancarkan al-Quran tafsir ar-Rahman hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah Urusan PNMB, Izham Yusoff.

Ahmad Zahid memberitahu, oleh kerana PNMB mempunyai sistem kad yang pernah dikeluarkan sebelum ini, i-Kad akan ditingkatkan dengan ciri-ciri biometrik dan kod bar.

"Elemen keselamatan ini akan menjadi pengesahan keselamatan oleh penguat kuasa yang apabila seseorang itu ditahan, kad ini akan disemak, maka kod bar mempunyai semua maklumat pemegang kad.

"Kami jangkakan kad ini akan dikeluarkan untuk 2.5 juta pekerja asing secara berperingkat-peringkat dan dikeluarkan mengikut warna berdasarkan sektor pekerjaan. Ini bagi menggantikan keperluan asal untuk membawa pasport sebagai dokumen penting," katanya.

Ditanya mengenai sasaran dan kos i-Kad, jelasnya, sasaran awal adalah sebanyak 646,000 pekerja asing yang memohon dengan kos kad ditanggung sepenuhnya oleh pekerja berkenaan.

"Kita harap apabila i-Kad dikeluarkan, penguatkuasaan Jabatan Imigresen dan agensi penguat kuasa lain akan diteruskan dalam 'membersihkan' PATI. Proses ini tidak akan terhenti malah dengan i-Kad, kita memastikan penguatkuasaan ditingkatkan," tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, selain i-Kad, PNMB juga akan diberi peranan mengeluarkan kad-kad pengesahan untuk semua pembekal senjata api termasuk kad pengenalan khas bagi anggota Jabatan Sukarelawan (dahulunya Ikatan Relawan Rakyat Malaysia - Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).- UTUSAN 

No comments:

Post a Comment