Thursday, 3 October 2013

AEON Malaysia bantu PKS

Oleh FAIRUS KASSIM
Nur Qamarina Chew Abdullah 
KUALA LUMPUR, RABU, 02 Oktober, 2013: AEON Co. (M) Bhd. (AEON Malaysia) merancang membawa produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia ke rangkaian pasar raya AEON di Kemboja, Vietnam dan Indonesia bermula tahun hadapan setelah berjaya melakukannya di Jepun sejak 2011.

Pengarah Urusannya, Nur Qamarina Chew Abdullah berkata, tahun hadapan, AEON akan membuka cawangan pertama di Kemboja dan Vitenam dan ke Indonesia pada tahun berikutnya dalam usaha mengukuhkan kedudukan kumpulan berkenaan di rantau ASEAN.

“Kami di pihak AEON Malaysia sedang berusaha untuk menyediakan ruang untuk PKS tempatan memasarkan produk mereka ke negara berkenaan melalui rangkaian pasar raya AEON.

“Kami juga sedang merancang untuk menganjurkan program Taste of Asia bagi mempromosikan barangan PKS di sana melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Tourism Malaysia dan AEON Japan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program Taste of Malaysia di AEON Tsudanuma, Chiba, Jepun baru-baru ini.

Program berkenaan dianjurkan selama tiga hari bermula 27 September lalu bertujuan mempromosikan produk PKS tempatan ke lima cawangan pasar raya AEON di sini dan Tokyo.

Program Taste of Malaysia dengan kerjasama KPDNKK berkenaan telah berjaya membawa 155 jenis produk buatan tempatan ke Jepun meliputi jenama seperti Meggi, Brahim, Agromas, E-Zee mee, Mamee dan yang paling utama adalah nenas, buah tempatan pertama yang melepasi standard saringan makanan Jepun.

Nur Qamarina Chew berkata, barangan keluaran Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk berjaya di rantau ini tetapi cabaran utama adalah strategi pemasaran dan peluang mendekati pelanggan dengan betul tetapi masalah berkenaan oleh diatasi jika melalui AEON.

Menurutnya, contohnya di Jepun, AEON mempunyai sistem pasar raya yang sistematik dan purata kehadiran pengunjung sekitar 80,000 hingga 100,000 orang sebulan untuk setiap cawangan.

“Kami akan bekerjasama dengan PKS tempatan untuk merangka strategi bagaimana untuk membuat persediaan memenuhi permintaan di pasaran di rantau ini terutamanya dari segi kualiti dan stok yang berterusan," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai standard yang perlu dipatuhi oleh PKS untuk menerokai pasaran luar adalah dari segi kualiti, cara pembuatan, label dan proses pembungkusannya.

Katanya, sebagai contoh buah nenas yang berjaya mencatat rekod di Jepun telah disaring oleh kerajaan di sini untuk memastikannya bebas dari serangga dan racun perosak dan kejayaan nenas ini akan menjadi perintis kepada buah-buahan tempatan yang lain.

“Kami merancang membawa buah-buahan tempatan yang lain tahun hadapan seperti manga yang cukup diminati masyarakat Jepun.

“Selain itu, PKS tempatan perlu faham cara hidup masyarakat Jepun yang sentiasa menginginkan produk yang ringkas, cepat, sedap dan dibungkus kecil. Mereka perlu membuat inovasi terhadap produk masing-masing bagi bersesuaian dengan selera pelanggan," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment